KUALA LUMPUR 18 JULY 2018. Acting Group CEO, Cradle, Razif Abdul Aziz mingle with the participants at the #CRADLEBUZZ2018 at Sime Darby Convention Centre. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

KUALA LUMPUR: Cradle Fund, program pembangunan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia, mencetuskan impak bermakna kepada pembangunan ekonomi negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Razif Abdul Aziz, berkata Cradle Fund menyumbang RM3.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tempoh 2008-2016 selain mewujudkan 80,600 pekerjaan sepenuh masa dalam tempoh sama.

“Program Cradle Fund juga berjaya menarik RM1.3 bilion dalam dana swasta dan asing dalam tempoh lapan tahun.”Ia adalah testimoni bahawa pembiayaan yang betul pada waktu yang betul boleh membuahkan hasil yang lebih besar dan bermakna berbanding perbelanjaan awam lain,” kata beliau dalam satu temubual dengan BH di Cradle Buzz 2018 di sini baru-baru ini.

Cradle Buzz 2018 adalah platform anjuran Cradle Fund bertujuan menemukan syarikat pemula dengan bakal pelabur, selain memberi mereka peluang mendapat maklumat dalaman daripada pemain industri.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Unit Strategik Kebangsaan Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Data disebut Razif itu adalah data awal daripada kaji selidik yang dijalankan HELP University berhubung impak program pelaburan Cradle Fund untuk tempoh 2008-2016.

Razif berkata, sejak diperkenalkan pada 2003, Cradle membantu lebih 800 individu dan syarikat permulaan Malaysia selain mencatat kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan geran yang diberikan kerajaan.

Sebagai pencetus pengaruh atau ‘influencer’, Cradle Fund adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat-syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.Razif berkata, Cradle juga akan memantapkan lagi perangkaian dalam kalangan penerima bantuan Cradle Fund bertujuan membuka lebih ruang kepada mereka menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Cradle Fund memberi ruang kepada syarikat permulaan bagi membolehkannya diangkat ke tahap berikutnya,” katanya sambil menambah keutamaan beliau ialah menerus dan menjayakan wawasan ketua eksekutif Cradle Fund sebelum ini, Allahyarham Nazrin Hassan.

Sumber daripada BH Online