DriveMark tawan Asia Tenggara

Published 30 May, 2019

SYED AHMAD menunjukkan aplikasi telefon pintar percuma yang menawarkan banyak kelebihan kepada pengguna di Malaysia dan juga di luar negara.

KUALA LUMPUR – Aplikasi pemanduan berhemah, DriveMark yang dibangunkan syarikat tempatan, Katsana Holdings Sdn. Bhd. (Katsana) disasarkan mampu menarik antara lapan hingga 10 juta pengguna di rantau ini dalam tempoh lima tahun.


Drivemark merupakan aplikasi telefon pintar percuma yang memberi ganjaran berbentuk diskaun petrol, tol dan insurans kenderaan kepada pemandu yang menampilkan corak pemanduan selamat.


Pengasas dan Pengarah Urusan Katsana, Syed Ahmad Fuqaha Sd. Agil berkata, Drivemark memasuki pasaran Indonesia pada minggu lalu dan telah mengumpul sebanyak 600 orang pengguna.


“Kami telah membuka pejabat di Surabaya dan menyasarkan seramai 100,000 pengguna menjelang hujung tahun ini.


“Selepas Indonesia, kami berhasrat untuk memasuki Thailand dan kini sedang menaik taraf aplikasi untuk menyokong penggunaan bahasa Thailand,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di ibu pejabat Malaysia Venture Capital Management Bhd. (Mavcap) di Menara Ilham di sini semalam.


Katsana sebelum ini telah menerima dana daripada Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF) yang merupakan kolaborasi antara Axiata Group Bhd., Mavcap dan Johor Corporation.


Menurut Syed Ahmad Fuqaha, DriveMark kini memiliki sejumlah 70,000 pengguna di Malaysia.


Pihaknya mengunjurkan nilai tersebut meningkat sekali ganda kepada 140,000 pengguna menjelang akhir 2019 menerusi kerjasama de­ngan syarikat gergasi bagi mempromosikan penggunaannya.


Jelasnya, Katsana telah menjalin kerjasama dengan tiga buah syarikat iaitu Etiqa Insurance, Etiqa Takaful dan Allianz Malaysia. Katsana menawarkan pulangan tunai insurans kenderaan sehingga 15 peratus bagi pengguna yang memiliki skor tinggi dalam DriveMark.


“Kami juga sedang berbincang dengan lima buah penyedia insurans kenderaan lain dan hasilnya dijangka dapat dimuktamadkan hujung tahun ini,” katanya.


Source From KOSMOS Online