Cradle agresif labur dalam syarikat pemula tempatan

Published 23 June, 2019

CYBERJAYA: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) komited untuk terus agresif melabur dalam syarikat pemula berpotensi tinggi tempatan walaupun berdepan cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu dan dana terhad daripada kerajaan.


Justeru, pelabur modal yang terkenal dengan impak daripada geran Program Pelaburan Cradle (CIP) itu menyasarkan untuk mengagihkan RM7.5 juta menerusi geran CIP 300 dan pelaburan ekuiti dalam 10 syarikat pada tahun ini.


Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Razif Abdul Aziz, berkata peruntukkan untuk geran CIP 300 itu akan memberi manfaat kepada 25 syarikat pemula berpotensi tinggi tahun ini.


Katanya, antara bidang yang menarik perhatiannya untuk pelaburan adalah internet kebendaan (IoT), kepintaran buatan (AI), robotik dan bidang yang berpotensi tinggi menggunakan teknologi termaju, terkini serta inovatif.


“Walaupun dalam persekitaran ekonomi mencabar dan tidak menentu, cradle akan meneruskan pelaburannya dalam bidang itu kerana kerajaan sudah menyediakan dana dan kami akan terus melabur dalam semua sektor berpotensi tinggi.


“Kami mahukan yang terbaik daripada terbaik dalam industri, jika tidak nanti banyak yang serupa seperti e-dagang dan platform e-hailing yang kini sudah terlalu banyak dalam pasaran,” katanya ketika ditemui BH selepas Forum Minggu Teknologi Malaysia 2019 di sini, baru-baru ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat pemula perlu lebih berdaya saing kerana persaingan mendapatkan geran dan pembiayaan kini terlalu sengit.


Katanya, sebagai contoh Cradle menerima lebih 600 permohonan untuk pembiayaan, maka untuk melayakkan mereka menerima geran perlulah ada kelainan, menggunakan teknologi tinggi, idea baharu, dan inovasi.


“Dana yang diberikan terhad maka kelulusan diberikan kepada permohonan yang akan memberikan impak kepada ekonomi, komuniti dan negara itu,” katanya.


Source From Berita Harian